SUMBANGAN SEORANG SASTRAWAN KEPADA MASYARAKATNYA

Dalam masyarakat kita, seorang sastrawan memang disegani dan disanjung tinggi. Ketika negara kita baharu-baharu merdeka, salah satu jabatan yang ulung ditubuhkan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditujukan untuk meninggikan taraf kesusasteraan kita baik dalam bidang cerpen, novel, sajak, mahupun drama.

Tahun demi tahun telah dianjurkan peraduan mengarang demi untuk menggalak lebih ramai penulis-penulis baharu yang berpotensi supaya menceburkan diri dalam bidang sastra.

Dimasa ini, tiga tokoh sastra kita telah dikurniakan Hadiah Sastra yang lumayan: Pak Sako, Usman Awang dan A. Samad Ismail.

Langkah-langkah ini menunjukkan betapa masyarakat menghargai sumbangan-sumbangan seorang sastrawan kepada kita.

Adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan yang Malaysia mahupun Indonesia belum boleh lagi melepaskan diri dari cengkaman penjajah kalau tidak kerana kuasa pena sastrawan-sastrawan kita.

Dengan kata-kata, “bumi kita kaya raya kita jadi pedati di tanah air sendiri”, Usman Awang menanamkan semangat berkobar-kobar di sanubari pembaca-baca agar insaf akan penindasan rakyat oleh penjajah, dan seterusnya berjuang untuk menuntut kemerdekaan negara.

Begitu juga penyajak Khairil Ansvar dengan sajak-sajak bersemangat seperti “Aku” telah menanam benih kebangsaan dalam rakyat Nusantara. Seruannya kepada rakyat Melayu supaya bersatu-padu, memaafkan kesalahan di antara mereka lalu menumpukan kebencian kepada keganasan dan kecurangan orang Jepun begitu berjaya hinggakan Indonesia dibenarkan merdeka.

Kita harus juga jangan menganggap sastrawan sebagai seorang idealitis yang selalu berkisar di alam abstrak dan kurang kena-mengena dengan kehidupan sehari-hari. Malah konsep “seni untuk seni” begitu kuat ditentang oleh sastrawan-sastrawan kita seperti Amir Hamzah dan Usman Awang. Mereka lebih senang hati dengan konsep “seni untuk masyarakat”. Sastra, bagi mereka, adalah satu alat yang harus memberi kebajikan kepada masyarakat, bukan satu bidang yang individulistik. Ya, bukannya satu bidang semata-mata untuk menguji daya kreatif atau mengumpul hasil-hasil ilham. Sastrawan harus berusaha dengan tabah hati untuk menelanjangi segala-gala penyakit sosial, segala-gala gejala yang kini menghimpit kemajuan bangsa kita. Kesalahan-kesalahan harus jangan takut-takut dibongkari supaya masyarakat akan insaf. Begitulah, watak-watak yang menekan masyarakat kepincangan rakyat, orang-orang kaya yang opportunis, anak-anak bangsawan yang hinakan kaum tani merupakan thema-thema ‘popular’ di kalangan sastrawan-sastrawan pra-Merdeka kita.

Seorang sastrawan yang bertanggung-jawab dapat menyedarkan masyarakatnya akan kesalahan-kesalahan mereka. Mungkin ianya akan dicaci dan dikeji oleh masyarakat kerana manusia memang enggan dikatakan yang dia salah.

Sejarah penuh dengan peristiwa-peristiwa penindasan rakyat dan pelanggaran hak-hak manusia asasi yang telah dikutuk dengan pena tajam para sastrawan hinggakan berlaku pemulihan.

Harriet Beecher Stowe dalam bukunya “Uncle Tom’s Cabin” mengesahkan keluh-kesah seorang abdi Negro dan beberapa tahun kemudian, perhambaan telah dibasmikan di Amerika Syarikat. Begitu juga penulis-penulis Perancis seperti Rosseau dan Voltaire telah terus-terang menyibarkan konsep-konsep ‘hak kebebasan untuk bercakap, bergerak, mengeluarkan pendapat. Bukan sahaja pemerintahan Raja Perancis yang kuku besi digulingkan malah bermulalah sistem pemerintahan demokrasi yang moden ini.

Dalam abad sains dan teknoloji ini, kita menjulang tinggi ahli sains dan ilmu sains. Sebabnya, “dengan ilmu sains, ahli sains dapat mencipta apa-apa jua rekaan. Para sastrawan pula apakan dayanya, cuma dapat berguridam di bawah pohon-pohon kelapa”. Namun harus kita ingat, sains, sebagai satu alat ada baik buruknya. Kalau sains dapat mereka lebih banyak kemudahan letrik, ia dapat juga mencipta bom atom yang menggugat keselamatan manusia. Kalau sains dapat mencipta perubatan moden, ia juga dapat melaratkan masaalah ledakan penduduk dan kekurangan makanan.

Para saintis itu tiada sekatan baginya, dia terus akan menyelidik dan mencipta baik untuk mendatangkan kebajikan mahupun nestapa kepada manusia, demi untuk ‘semangat menyiasat’. Di sinilah tugas ahli sastrawan; untuk menentukan yang kemajuan baharu itu tidak akan mengancam keselamatan manusia. Dia haruslah memastikan perkembangan yang seimbang baik dari segi jasmani mahupun rohani. Dia harus mengingati manusia sejagat dari sekali-sekala supaya tidak melampaui batas dan mengingati asalnya. Contohnya dalam sajak “Di Dalam Padang Manusia” ini, Zurina Hassan kesal yang dalam zaman materialistik ini, manusia sudah lupa akan seni ‘menegur-sapa’ di antara satu sama lain. Begitu juga dalam “Pesanan”nya, Nor Aini Muhammad mengingatkan kita tentang kekejaman peperangan.

Dalam abad yang penuh dengan alat-alat hiburan massa, para sastrawan masih memainkan peranan yang penting untuk ‘menghiburkan masyarakat’ Kalau pada zaman buta huruf dahulu, masyarakat dihidang dengan cerita-cerita yang sedap bunyi iramanya oleh penglipur-penglipur lara, zaman moden ini pula sajak dan cerpen setiap hari tersaji di akbar dan majallah-majallah tempatan. Ini amat penting terutama di abad moden yang begitu kuat dipengaruhi sains hinggakan manusia cuma dapat mengamati segala yang nyata manakala kehalusan rohani dan jiwa diketepikan. Pendeknya, kalau makanan itu merupakan santapan jasad, sastera itu pulalah santapan jiwa agar kekosongan jiwa tidak dirasai. Umpamanya gambaran ‘Hujan’, karya Muhammad Haji Salleh, dapat menarik minat kita untuk menghayati hujan yang selama ini kurang kita perhatikan.

Seorang sasterawan juga harus berfungsi sebagai pakar jiwa manusia yang cuba mentafsirkan watak-watak manusia yang berbagai rupa, bak kata pepatah, “Dunia ialah pentas sandiwara”. Dengan permerhatiannya yang tajam, sasterawan itu mencuba sedaya upaya untuk memahami segala gerak-geri manusia. Ini lebih nyata lagi dalam bidang nobel dan cerpen di mana perwatakan memainkan peranan penting untuk menjayakan plot cerita itu. Contohnya, dalam karyanya ‘Atheis’, Achdiat M. Mihardja mencatitkan geraklaku dan pemikiran seorang yang berlainan dengan norma-norma sosial yang umum. Memang pengesahan tentang perwatakan manusia sangat menarik untuk dibaca. Lebih-lebih lagi dapat ia memperkayai pengalaman kita yang terbatas dan juga pengertian yang lebih luas terhadap manusia, amnya akan tercapai.

“Bahasa Jiwa Bangsa” adalah kata-kata yang tidak dapat disangkalkan kebenarannya. Dalam bahasa itu pula, sastra merupakan intisari yang memperkayakannya. Jelas kelihatan bahasa-bahasa antarabangsa yang luas dipergunakan mempunyai kesusasteraan yang kaya dan tinggi nilainya. Lagipun, nama-nama sastrawannya sering tersangkut di bibir manusia di seluruh dunia. Contohnya nama-nama ‘Hemingway’, ‘Faulkner’ dan ‘de Maupassant’ tidak asing lagi kepada penulis-penulis tanahair sendiri. Oleh itu, sastrawan-sastrawan kita haruslah giat berusaha untuk mempertinggikan taraf bahasa kita supaya dapat setanding dengan bahasa-bahasa antarabangsa. Walaupun kita mempunyai kekurangan dari faktor masa kerana kesusteraan kita memang pendek sejarahnya, sastrawan-sastrawan tidak harus berputus asa malah melipat-gandakan usaha-usaha supaya satu hari nanti akan terukir sebuah nama yang setaraf dengan nama-nama ‘Shakespeare’, ‘Rabindranath Tagore’ dan ‘Lin Yu-Tang’.

A former MHS pupil of 5 Science 1

Page 67 Optimist 1977

Selamat Menyambut Hari Merdeka. 31hb Ogos 2011

 

This entry was posted in Optimist, Pupils, Sekolah Tinggi Melaka and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s